Kanak Kanak 7 Tahun Maut Dipatuk Ular Hidup Semula?|Keluarga murid Tahun Satu, Nuri Nadirah Ruslan, yang meninggal dunia dipercayai dipatuk ular pagi tadi, menafikan kanak-kanak itu ‘hidup semula’.
Ibunya, Wan Nor Izzatul Azwana Wan Mohamad, 28, bagaimanapun mengakui anaknya kelihatan seolah-olah tersedak ketika proses memandikannya petang tadi dan perkara itu kemudian disebarkan.
“Perkara yang diviralkan sejak jam 9 malam tadi yang mendakwa Nuri Nadirah tersedar dan memegang tangan saya tidak benar sama sekali.
“Namun, bagi memuaskan hati keluarga, jenazah Nuri Nadirah yang sepatutnya dikebumikan malam tadi ditangguh kepada pagi esok.
“Pada masa sama, kami juga menggunakan khidmat pengamal perubatan tradisional supaya dapat memuaskan hati ahli keluarga.
“Saya minta semua pihak hentikan sebar maklumat yang tidak betul,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Buaya, di sini, sebentar tadi.
Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Hashim 1, dipercayai dipatuk ular ketika waktu rehat kira-kira jam 9.30 pagi.
Mangsa bagaimanapun dikatakan sempat meneruskan pembelajaran lebih satu jam sebelum guru melihat kanak-kanak itu pengsan di tempat duduknya kira-kira jam 11 pagi.
Mangsa yang dibawa ke Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan jam 12.30 tengah hari, sebelum pengesahan kedua kematian mangsa dibuat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Baharom Abu, berkata pihaknya memandang serius maklumat yang diviralkan dan akan menyiasat sekiranya keluarga membuat laporan polis.
Kanak Kanak 7 Tahun Maut Dipatuk Ular, Telah Pun Di Kafan Terkejut Hidup Semula?
Reviewed by Mambang Kuning
on
9:51 AM
Rating: